
Sahabat saya Musafir Kelana memberikan satu pandangan yang cukup menarik berkenaan isu melayu yang cuba saya ketengahkan semalam. Berikut adalah “komentar” beliau yang ingin saya kongsikan bersama rakan-rakan:
Salam Raktamrittika,
Saya berpandangan topik ini agak menarik untuk dibahaskan tapi ia memerlukan suatu horizon pemikiran yang benar2 matang untuk memahami signifikannya terhadap pembangunan sosial dan hubungan kemanusiaan di negara ini. Dan untuk mencapai tujuan itu aspek2 yang banyak menjurus kepada penyerangan berbentuk emosi sewajarnya dihindari terutamanya oleh kalangan umat Melayu yang berminat untuk membicarakannya.
Seterusnya sebelum kita terlajak kata dalam isu2 sensitif begini, saya fikir seelok2nya kita menarik nafas panjang dan dalam2 serta tenangkan dulu jiwa dan lapangkanlah minda seluas2nya sehingga kita sudah benar2 siap untuk menerokai susur galur keturunan bangsa Melayu sebagaimana yang disebutkan dalam artikel di atas.
Secara peribadinya, walaupun sebelum ini saya pernah terbaca beberapa artikel dan maklumat berkenaan hakikat sejarah salasilah wujudnya bangsa bernama Melayu di muka bumi ini yang saya anggap lebih kurang sama isipatinya dengan kandungan artikel di atas, namun saya masih merasakan perbincangan mengenai topik2 begini tidak cukup diadakan secara sambil lalu sahaja semata2 untuk menyampaikan ilmu kepada kumpulan yang disasarkan.
Saya menganggap maklumat seperti ini sangat berguna lebih2 lagi kepada pewaris generasi hari ini supaya mereka sentiasa mengingati peri pentingnya sejarah kemunculan bangsa mereka serta sejauh mana kemajuan2 yang telah dicapai oleh bangsa Melayu sehingga ke hari ini.
Sehubungan dengan itu, saya ingin mengusulkan kepada pihak2 yang berkenaan terutamanya pihak berwajib untuk mengadakan suatu ‘syllabus’ (sukatan pelajaran) khusus di peringkat persekolahan berhubung dengan perkara ini supaya generasi muda terutamanya dapat mengenali dengan lebih lanjut mengenai fakta2 sejarah yang melingkari kewujudan bangsa Melayu di seluruh pelusuk alam ini serta sumbangan2 mereka dalam setiap aspek kehidupan dari dulu hingga kini.
Saya kira langkah yang proaktif seperti ini perlu dilakukan agar bangsa Melayu hari ini menjadi bangsa yang celik sejarah asal usul mereka dan betapa besarnya kemajuan yang telah dicapai oleh bangsa Melayu bukan sahaja di negara kelahiran mereka bahkan juga di negara2 tempat mereka bermastautin.
Sebenarnya pendedahan sedemikian sangat perlu agar bangsa Melayu tidak lagi terlalu terikat dengan fahaman sempit mereka yang mendakwa bahawa mereka hanya akan berjaya sekiranya hak2 mereka sebagai bangsa Melayu tetap terpelihara seketat2nya dan tidak boleh diusik sedikitpun oleh sesiapapun jua.
Sampai bila bangsa Melayu ingin menutup mata dan minda mereka sedangkan dunia semakin pesat berubah.? Jika anak2 Melayu di perantauan boleh berjaya dalam segala bidang yang diceburi dan sudah terbukti bahawa bukan sedikit yang telah cemerlang dalam hidup mereka meskipun tidak berada di tanahair mereka sendiri. Mereka berjaya hasil dari usaha gigih dan keyakinan diri untuk maju dan terus maju. Walaupun mereka tidak dijanjikan dengan sebarang bentuk keistimewaan dan terpaksa bersaing dengan bangsa2 lain di dunia ini namun mereka terus berjaya malahan turut dikagumi oleh bangsa2 lain.
Maka, saya kira bangsa Melayu di negara ini juga perlu membuang rasa takut atau rasa rendah diri untuk bersaing dengan bangsa2 lain yang ada di sini. Bukankah sudah sampai masanya untuk kita membuktikan bahawa bangsa Melayu yang sedikit masa dulu memang terkenal dengan sejarah kegemilangan dan kepahlawanannya dulu juga boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan2nya dari bangsa2 lain.? Bukankah ada pepatah yang mengatakan “jika tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.? Jadi, jika tidak ‘dipandu uji’ manakan tahu jika bangsa Melayu memang punya daya saing yang tinggi sehingga mampu membawa masa depan negara ke era yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pendek kata, marilah kita bersama2 meneroka alam persefahaman yang baru untuk kemaslahatan semua kaum di bumi Malaysia tercinta ini umpama kata bidalan orang tua2 “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih” dan “di mana ada kemahuan di situ ada jalannya”.



Ryozo Askikaga












APA KATA ANDA